MIGHT labur RM20 juta kepada Aerodyne bukan untuk projek ‘kereta terbang’

November 29, 2019by Admin
https://www.might.org.my/wp-content/uploads/2019/12/51575041932_MIGHT.jpg

KUALA LUMPUR: Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) mengesahkan anak syarikatnya VentureTech Sdn Bhd ada melakukan pelaburan RM20 juta kepada syarikat aplikasi dron Aerodyne Group pada 1 November lalu.

Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Yusoff Sulaiman pada masa sama bagaimanapun turut mengesahkan pelaburan itu bukan digunakan untuk pembangunan projek ‘kereta terbang’.

Sebaliknya, pelaburan RM20 juta itu adalah sebahagian daripada Pusingan Pelaburan Siri B Aerodyne.

Malah Mohd Yusoff mempertahankan pelaburan itu sebagai pelaburan yang strategik berdasarkan potensi tinggi Aerodyne yang merupakan pemain ketiga terbesar dunia dalam aplikasi dron.

Pada pelaburan Siri B Aerodyne itu, Aerodyne berjaya memperoleh AS$30 juta daripada pelabur antaranya dari Jepun dan Korea Selatan, selain Malaysia.

Tegas Mohd Yusoff, pelaburan VentureTech ke dalam Aerodyne dibuat berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Pelaburan itu juga sebahagian daripada mandat yang diberikan kepada VentureTech untuk melabur dalam syarikat teknologi tinggi yang mempunyai potensi besar.

“VentureTech ada jawatan kuasa pelaburan dan lembaga pengarah yang terdiri daripada (wakil) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Tenaga. Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan pakar-pakar dalam bidang teknologi kewangan.

“Mereka menentukan syarikat yang boleh dilabur. Ada (permohonan) kerana tidak memenuhi kriteria. Tetapi Aerodyne memenuhi semua kriteria,” jelasnya.

Sehingga kini VentureTech sudah membuat pelaburan RM123 juta ke dalam 14 syarikat berpotensi tinggi tempatan, termasuk Aerodyne.

Pelaburan RM20 juta itu dibuat bagi mengembangkan perniagaan Aerodyne dan menjadi pemain utama global.

Ketika ini Aerodyne, yang merupakan sebuah syarikat milik bumiputera, merupakan pemain dalam industri aplikasi dron yang ketiga paling utama di dunia.

Isu pelaburan RM20 juta ke Aerodyne, yang dikaitkan dengan projek kereta terbang dibangkitkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis.

PAC dalam laporannya mengenai projek ‘super drone’ yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis, dan turut dimuat naik di laman web PAC, menyatakan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof membuat pengumuman terlalu awal mengenai projek tersebut.

Menurut laporan berkenaan, PAC juga mendapati MIGHT melalui VentureTech telah meluluskan pelaburan dalam Aerodyne sebanyak RM20 juta yang disalurkan pada 1 November lepas.

PAC juga meminta Jabatan Audit Negara (JAN) supaya membuat pengauditan terhadap pelaburan RM20 juta itu.

Kekeliruan terhadap isu ini mula timbul apabila Mohd Redzuan menyatakan RM20 juta itu disalurkan untuk pembangunan projek kereta nasional baharu, bukan untuk projek kereta terbang.

Admin

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links
Despite the uncertainties due to the COVID-19 pandemic. The marvels of technology enable us to be digitally connected

Copyright © 2020 Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.