Hasil jerami bakal beri pendapatan tambahan

August 3, 2017by Admin

KULIM: Seramai 2,480 petani daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan bakal memperoleh sumber pendapatan tambahan melalui projek usahasama membekal jerami untuk diproses menjadi bahan pembungkus terbiodegradasi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, berkata perancangan itu bakal direalisasikan dengan sumbangan sebuah traktor dan pembandela jerami kepada PPK Pendang Selatan.

“Set jentera bernilai RM200,000 ini akan diguna pakai oleh PPK Pendang Selatan bagi meningkatkan kecekapan kerja-kerja mengumpul dan memampatkan jerami padi ke dalam bentuk bandela sebelum di bekalkan kepada syarikat Free The Seed Sdn Bhd (FTS) yang akan memproses bahan buangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2017 peringkat negeri di Dataran Kulim di sini, hingga 6 Ogos.

Sambutan itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan turut dihadiri EXCO Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Wanita, Datuk Suraya Yaacob; Ketua Pegawai Eksekutif, The Free Seed Sdn Bhd, Prof. Dr. Ramaness Parasuraman dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang ( LPP), Tan Sri Zainal Dahalan.

Melalui projek itu, sebanyak 7,000 tan jerami padi setahun akan dibekalkan untuk tempoh selama 10 tahun dengan anggaran nilai jualan mencecah RM5.7 juta bagi fasa pertama yang membabitkan 12 kawasan bendang PPK Pendang Selatan.

” Kerjasama ini dijangka membuahkan hasil yang baik kepada kedua-dua pihak memandangkan FTS mempunyai rekod mengikat kontrak selama tiga tahun mengeksport 40 kontena pembungkusan buah-buahan terbiodegrasi ke rangkaian pasar raya di Belanda, Jerman dan United Kingdom.

“Permintaan yang tinggi ini menyebabkan FTS memerlukan 5,000 tan jerami setahun daripada petani. Ini bukan saja menambah wang saku petani tetapi sekali gus mengelakkan petani melupuskan jerami secara pembakaran terbuka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Pendang Selatan, Abdullah Mohamad berkata, pihaknya menyambut baik sumbangan jentera itu bagi membantu petani mengumpul dan memampatkan jerami padi.

Katanya, sesi pengumpulan akan dimulakan sebaik kerja-kerja menuai selesai dilakukan dan ia bergantung kepada keadaan cuaca.

“Apa yang penting, kita tidak mahu lagi petani menggunakan kaedah konvensional untuk melupuskan jerami padi iaitu dengan membakarnya.

“Kita jual jerami padi ini dengan harga yang ditetapkan PPK dan petani sendiri mendapat pulangan yang lumayan. Bukan saja tidak menjejaskan alam sekitar, pelbagai produk mesra alam dapat dihasilkan daripada jerami ini melalui penggunaan teknologi terkini,” katanya. – BERNAMA

Admin

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links
Despite the uncertainties due to the COVID-19 pandemic. The marvels of technology enable us to be digitally connected

Copyright © 2021 Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.