Kereta api ialah pilihan masa depan, kata PM
CYBERJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, kereta api ialah pengangkutan pilihan bagi masa depan Malaysia yang bergelut masalah kesesakan lalu lintas setiap hari disebabkan pertambahan kenderaan di jalan raya.
“Sebelum ini, kereta api tidak laju dan bukan pengangkutan biasa bagi rakyat. Sekarang, kereta sudah bertambah sehingga tahap kita berdepan kesesakan.
“Jawapan jelas sebagai pengganti ialah sistem kereta api yang lebih laju kerana tiada papan tanda henti-lihat-gerak, hanya tanda isyarat,” katanya selepas Pameran dan Pertunjukan Teknologi serta Inovasi Kejuruteraan Rel Tempatan Terbesar di Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) di sini, hari ini.
Perdana menteri berkata, kereta api ialah pilihan lebih baik daripada kapal terbang, “jika jarak perjalanan tidak terlalu panjang” kerana ada banyak pemeriksaan membabitkan penerbangan, khasnya kebimbangan terhadap keganasan.
“Tetapi ia tidak patut terlalu pendek. Jika masa perjalanan (dipendekkan) 15 atau 20 minit, maka ia tidak berbaloi.”
Terdahulu, Mahathir dalam ucapannya berkata, limpahan sosial ekonomi daripada sistem kereta api adalah besar kerana perkhidmatan kereta api elektrik membawa manfaat komersial.
“Kereta api laju merangsang pelancongan dan meningkatkan premis runcit dan nilai hartanah.”
Katanya, nilai sesetengah hartanah perumahan dan komersial di sepanjang laluan kereta api utama di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar meningkat 15 hingga 25%.
“Trend yang kita lihat tidak dijangka perlahan dalam masa terdekat,” katanya sambil menambah kadar urbanisasi Malaysia ialah 75%, iaitu 20% lebih tinggi daripada kadar global.
“Bayangkan jenis ekosistem mobiliti yang diperlukan untuk ini.”
Mahathir berkata, jajaran KLIA Express perlu ditambah baik dan diluruskan untuk mengurangkan masa perjalanan.
“Tetapi, itu akan menyebabkan kos bertambah.”
Pada sesi soal jawab selepas majlis perasmian, Mahathir berkata, beliau akan mengkaji sistem percukaian yang dilaksanakan ke atas pengeluar tempatan.
Beliau menjawab soalan mengenai pengeluar asing yang dikecualikan cukai, tetapi syarikat tempatan perlu membayar cukai jualan dan perkhidmatan.
Beliau menasihatkan rakyat tidak memandangkan pencapaian di negara sendiri, termasuk dalam sektor pembuatan kenderaan.
“Kita beli kereta import, tetapi duit itu mengalir keluar dan kita menjadi miskin.
“Kita mempunyai kapasiti, tetapi dasar kita nampaknya menggalakkan import berbanding eksport. Tindakan itu tidak memanfaatkan negara kita. Kita perlu mengkaji semula percukaian supaya lebih banyak produk akan dihasilkan secara domestik.”
Walaupun kerajaan tidak boleh memaksa rakyat membeli produk tempatan, tetapi beliau berharap rakyat Malaysia akan bertindak seperti orang Korea atau Jepun yang lebih menggemari produk sendiri berbanding import.
- Published in News
Malaysia harus hasilkan ciptaan teknologi baharu
CYBERJAYA – Malaysia perlu menghasilkan ciptaan baharu bagi pengurusan sisa buangan yang boleh menjana kekayaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata pada hari ini terdapat banyak ciptaan dalam teknologi yang amat memberi kesan dan membawa banyak manfaat kepada penduduk di seluruh dunia.
Kata Dr Mahathir, sebagai contoh setiap tahun orang membeli telefon bimbit yang baharu dan membuang yang lama, dan ini akhirnya memberi kesan buruk kepada alam sekitar.
“Pengurusan sisa adalah sesuatu yang harus diambil kira oleh teknologi supaya kita dapat mengasingkan sisa dengan berkesan dan menggunakan semula sisa tersebut.
“Oleh itu, bagaimana untuk menangani sisa adalah sesuatu yang perlu dikaji,” kata beliau pada dialog Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) 2018, yang dipengerusikan oleh pengerusi MIGHT Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali di sini hari ini.
Dialog itu dihadiri oleh 50 pemain industri berteknologi tinggi. Semasa sesi tersebut, Dr Mahathir menjawab beberapa soalan dari para pemain industri antaranya ialah memastikan hasil penyelidikan diubah menjadi perniagaan yang menjana kekayaan.
Perdana Menteri berkata teknologi mikrocip adalah juga sesuatu yang harus diberi tumpuan oleh rakyat Malaysia memandangkan kebanyakan produk teknologi tinggi yang baharu menggunakan mikrocip.
“Ini adalah hala tuju yang negara harus menuju dan mengkaji perkara ini,” kata Dr Mahathir.
Source: Bernama
- Published in News
Malaysia perlu hasilkan ciptaan baharu yang jana kekayaan
CYBERJAYA, 17 Dis (Bernama) — Malaysia perlu menghasilkan ciptaan baharu bagi pengurusan sisa buangan yang boleh menjana kekayaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata pada hari ini terdapat banyak ciptaan dalam teknologi yang amat memberi kesan dan membawa banyak manfaat kepada penduduk di seluruh dunia.
Kata Dr Mahathir, sebagai contoh setiap tahun orang membeli telefon bimbit yang baharu dan membuang yang lama, dan ini akhirnya memberi kesan buruk kepada alam sekitar.
” Pengurusan sisa adalah sesuatu yang harus diambil kira oleh teknologi supaya kita dapat mengasingkan sisa dengan berkesan dan menggunakan semula sisa tersebut.
“Oleh itu, bagaimana untuk menangani sisa adalah sesuatu yang perlu dikaji,” kata beliau pada dialog Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) 2018, yang dipengerusikan oleh pengerusi MIGHT Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali di sini hari ini.
Dialog itu dihadiri oleh 50 pemain industri berteknologi tinggi. Semasa sesi tersebut, Dr Mahathir menjawab beberapa soalan dari para pemain industri antaranya ialah memastikan hasil penyelidikan diubah menjadi perniagaan yang menjana kekayaan.
Perdana Menteri berkata teknologi mikrocip adalah juga sesuatu yang harus diberi tumpuan oleh rakyat Malaysia memandangkan kebanyakan produk teknologi tinggi yang baharu menggunakan mikrocip.
“Ini adalah hala tuju yang negara harus menuju dan mengkaji perkara ini,” kata Dr Mahathir.
Source: BERNAMA
- Published in News
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sesi dialog bersama pemain industri mengenai Memacu Gelombang Industri Teknologi Tinggi
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sesi dialog bersama pemain industri mengenai Memacu Gelombang Industri Teknologi Tinggi di Kumpulan Industri Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) hari ini.
Source: UTUSAN ONLINE/ BERNAMA
- Published in News
Pertimbang masuk jika sesuai – Dr Mahathir
CYBERJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan semua permohonan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan dipertimbang dan dikaji terlebih dahulu sebelum diterima.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, berkata tidak semua permohonan akan diterima.
“Kita akan timbang, kalau sesuai kita boleh terima, kalau tak (tidak) sesuai kita tidak boleh terima.
“Kita tidak boleh terima semua orang. Kita kena kaji dulu,” katanya ketika ditemui pada sesi dialog Perdana Menteri bersama 50 pemain industri anjuran Kumpulan Industri Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai permohonan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik yang ingin menyertai BERSATU, Dr Mahathir berkata, pihaknya juga akan mengkaji permohonan itu.
“Dia (Rahim) bebas selepas keluar UMNO sebelum ini. Kalau dia sesuai kita terima,” katanya.
Semalam, Rahim menyerahkan borang keahlian menyertai BERSATU kepada Pengerusi Perhubungan BERSATU Melaka, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Mengulas mengenai kedudukan Setiausaha Politiknya, Muhammad Zahid Md Arip yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah membabitkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Dr Mahathir berkata, tuduhan sahaja tidak bermakna beliau bersalah.
“Tuduhan bukan bermakna salah. Tuduhan dibuat atas asas-asas yang didapati. Kita kena tunggu sehingga dia (Muhammad Zahid) dibicarakan.
“Kalau beliau dibicara dan kalau salah, kita akui dia salah. Tuduhan sahaja tidak bermakna dia salah,” katanya.
Menurut laporan sebuah portal berita, Muhammad Zahid disebut dalam sembilan dari 10 pertuduhan yang dikenakan terhadap Mohd Isa kerana didakwa menerima sogokan RM3 juta dari pembelian sebuah hotel di Kuching.
Muhamad Zahid didakwa menjadi perantara antara seorang pengarah di syarikat Gagasan Abadi bernama Ikhwan Zaidel dan Mohd Isa.
Beliau sebelum ini ditahan SPRM pada Ogos 2017 berhubung urusan pembelian hotel itu dan direman selama lapan hari.
Source: Berita Harian
- Published in News
PM gesa semua pihak teroka teknologi pengurusan sisa pepejal
CYBERJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa semua pihak termasuk pemain industri agar meneroka teknologi pengurusan sisa pepejal.
Jelasnya, meskipun kemajuan teknologi begitu pesat namun masalah sisa pepejal menjadi isu yang semakin membimbangkan.
“Ke mana kita nak buang sisa pepejal ini? Kita perlu beri perhatian berkenaan teknologi pengurusan sisa pepejal, sekali gus kita boleh kitar semula sisa pepejal terbabit.
“Contoh seperti sisa makanan, jika kita kitar semula boleh beri manfaat kepada manusia. Sekarang sisa pepejal teknologi seperti peti sejuk dan telefon bimbit menjadi masalah apabila peralatan ini tidak boleh hilang begitu sahaja.
“Jadi kita perlu beri perhatian berkenaan teknologi ini,” ujar beliau.
Tambah Perdana Menteri, jika tidak diurus dengan baik, sisa pepejal akan membahayakan ekosistem dunia.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Dialog bersama Pemain Industri Teknologi Tinggi anjuran Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) di Cyberjaya.
Source: Astro Awani
- Published in News
Kerajaan sedia bantu swasta bangunkan teknologi baharu – Tun M
CYBERJAYA: Kerajaan akan memberi bantuan kewangan kepada institusi penyelidikan dalam meningkatkan industri teknologi negara.
Menurut Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan sedia menghulurkan bantuan meskipun penyelidikan dan pembangunan (R&D) sesuatu produk mahupun teknologi memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Justeru, kerjasama di antara beberapa agensi di bawah kerajaan serta pihak swasta, jelas beliau, dilihat mampu meneroka teknologi terkini yang boleh menyelesaikan masalah sekali gus menjana pendapatan negara.
“Pembangunan penyelidikan memang menelan perbelanjaan yang tinggi, kadang-kala hasil penyelidikan tidak sepadan dengan penyelesaian masalah yang diharapkan, tetapi boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah lain dalam dunia teknologi terkini.
“Kerajaan sedia bantu menyalurkan bantuan kewangan. Contohnya, syarikat gergasi dari Korea, Samsung yang menghabiskan berbilion ringgit semata-mata untuk pembangunan penyelidikan dan kini mereka setaraf dengan syarikat gergasi Apple dari Amerika Syarikat. “
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Dialog bersama Pemain Industri Teknologi Tinggi anjuran Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) di Cyberjaya.
Menurut beliau lagi, kerajaan bersedia membuka laluan bagi tujuan itu menerusi beberapa agensi termasuk MIGHT.
Source: Astro Awani
- Published in News
“MIGHT is taking charge as the secretariat to discuss with all stakeholders on the 3rd National Car Project” – DS Azmin Ali
- Published in News
Kereta nasional 3.0: Kertas kerja vendor tempatan dikaji
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), akan mengkaji semula 50 kertas kerja yang diterima daripada vendor tempatan yang mahu menjadi sebahagian daripada Program Pembangunan Vendor (PPV) projek kereta nasional 3.0.
Ketua Setiausaha MED, Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata kementerian menerima banyak pertanyaan dan permintaan daripada peserta tempatan yang berminat menjadi vendor.
“Sekarang ini terdapat 50 syarikat tempatan yang telah membuat permohonan dan mereka mahu menjadi sebahagian daripada projek kereta nasional 3.0.
“Bagaimanapun, kami akan menyemak semula dan melihat kemampuan serta kapasiti mereka dan buat masa ini, kami tidak mempunyai had tertentu untuk bilangan vendor yang diperlukan,” katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Pemasaran Global di sini, hari ini.
Wan Suraya berkata, PPV juga tetap diteruskan dan pihaknya akan menambah baik program terbabit.
“Program ini akan diteruskan tetapi lebih mantap dan berfokus. Kami juga akan berjumpa dengan penyelaras polisi kereta nasional 3.0, iaitu Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi tinggi Malaysia (MIGHT) untuk berbincang lebih lanjut,” katanya.
Sidang kemuncak hari ini dihadiri 800 peserta daripada pelbagai organisasi dan dianjurkan oleh Institut Keusahawanan Negara (Insken).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan melalui latihan dan bimbingan.
“Sebelum ini, Insken menumpukan 100 peratus kepada latihan dan kali ini, kami akan menyeimbangkannya kepada 50:50 iaitu latihan dan bimbingan.
“Kami percaya hanya dengan latihan dan bimbingan dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan berdaya saing kerana bantuan pembiayaan saja tidak mencukupi bagi seseorang usahawan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan membantu golongan B40 yang mempunyai minat menjadi usahawan.
Source: Berita Harian
- Published in News
Industri maritim perlu elemen Industri 4.0
KUALA LUMPUR: Dasar industri maritim seperti Pelan Induk Perkapalan Malaysia perlu dikemas kini dengan elemen Industri 4.0 bagi memperkukuhkan sumbangan industri berkenaan kepada ekonomi.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming, berkata sedikit perhatian diberikan kepada Industri 4.0 memandangkan pemikiran di belakang industri ini sebelum ini tidak begitu matang.
“Dengan pelancaran dasar Industri 4.0 baru-baru ini dan insentif yang diumumkan pada Belanjawan 2019, saya fikir ini adalah masa yang terbaik untuk kita bekerja dengan industri berkenaan.
“Peserta industri yang ingin bergerak bagi mencapai piawaian Industri 4.0 boleh melakukannya dengan dasar baharu ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Marin Antarabangsa Malaysia 2018, di sini, hari ini.
Industri pembinaan kapal dan baik pulih kapal di Malaysia, yang mana adalah sebahagian daripada industri marin, pada masa ini menggaji 15,000 orang dan merekodkan jumlah dagangan RM6.1 bilion pada 2017.
Malaysia kini berada di kedudukan ke-18 negara terbesar pembina kapal.
Kian Ming menekankan bahawa fokus akan diberikan kepada pemain kecil industri maritim untuk menerima pakai Industri 4.0.
“Adalah diharapkan bahawa kita dapat membantu mereka untuk bekerja bersama pemain besar bagi melihat bidang mana dalam Industri 4.0 yang paling penting dan relevan kepada mereka, dan kemudian menjajarkan struktur insentif baharu dalam lingkungan bajet dan dasar Industri 4.0 supaya kita boleh memberi tumpuan khas kepada sektor ini kerana terdapat 11 komponen dalam Industri 4.0,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, industri pembinaan dan baik pulih kapal Malaysia dipacu oleh peserta tempatan dengan keupayaan menampung sektor angkatan laut dan komersial kira-kira 100 limbungan kapal di Malaysia dengan majoriti di Sabah dan Sarawak.
“Terdapat banyak peluang untuk sektor ini berkembang terutama dalam reka bentuk kapal, pengeluaran alat ganti dan komponen, sistem bersepadu dan pengeluaran peralatan marin,” tambahnya.
-BERNAMA
- Published in News